Talam Dua Muka: Kawan Atau Lawan Dalam Selimut?
Assalamualaikum dan hai semua pembaca setia blog KakYa. Lama betul tak menulis kat sini. Harini saja jenguk jenguk sini teringat la satu topik yang dah lama KakYa nak tulis tapi belum berkesempatan menulis. Hari ni KakYa nak sembang topik yang agak pedas, tapi penting sangat untuk kita faham iaitu talam dua muka. Pernah tak dalam hidup kita, kita rasa ada orang yang depan kita manis mulut, tapi belakang kita… eh, lain pula ceritanya? Haa, itulah yang dinamakan talam dua muka.
Istilah ni memang popular dalam masyarakat kita. Tapi sebenarnya apa maksud talam dua muka tu? Adakah dia sekadar bergosip belakang atau lebih daripada itu?
Apa Maksud Talam Dua Muka?
Secara mudah, talam dua muka ni merujuk pada seseorang yang bermuka-muka, berpura-pura baik di depan tapi sebenarnya ada niat atau tindakan yang berbeza di belakang. Depan kita puji melambung tapi belakang kita dia kutuk, jatuhkan, fitnah atau tikam kita dari belakang. Dalam bahasa Inggeris orang macam ni kadang kadang kita panggil “two-faced” atau “backstabber”.
Dan ya… orang macam ni ada di mana mana baik kat tempat kerja, sekolah, jiran tetangga, malah dalam kalangan saudara sendiri pun kadang kadang ada.
Kenapa Wujud Orang Talam Dua Muka?
Ada beberapa sebab kenapa orang jadi talam dua muka. Antaranya:
-
Nak jaga kepentingan sendiri – Mereka ni pandai ambil hati orang untuk dapatkan sesuatu, tapi bila dah dapat, lupa diri.
-
Iri hati dan cemburu – Tak boleh tengok orang lain lebih sikit mula lah mereka nak jatuhkan.
-
Tak berani berterus terang – Depan kita senyum sebab takut tapi belakang baru tunjuk taring.
-
Suka bawa cerita – Ada juga yang suka jadi batu api, asyik ulang alik bawa cerita untuk tengok orang bergaduh.
Macam Mana Nak Kenal Pasti Orang Talam Dua Muka?
Kadang kita susah nak kenal awal awal. Tapi lama lama, akan nampak juga ‘topeng’ tu. Antara tanda tanda:
-
Suka jaga tepi kain orang tapi semua cerita dia tak konsisten.
Bila depan kita dia puji tapi bila kita tiada, ada je cerita tak sedap keluar.
-
Suka mengadu domba, tabur fitnah atau buat kita keliru dengan fakta yang bercanggah.
-
Kerap tukar pendirian ikut siapa dia bercakap – depan bos lain depan kawan lain pula.
Kalau ada orang sekeliling kita macam ni, jangan cepat percaya dan elakkan terlalu terbuka cerita peribadi. Belajarlah tapis dan simpan yang penting untuk diri sendiri.
Apa Patut Kita Buat Bila Berhadapan Dengan Talam Dua Muka?
-
Jaga jarak secara sihat – Tak perlu bergaduh, tapi jangan beri peluang dia gunakan kita.
-
Jangan lawan api dengan api – Kalau kita balas dengan cara yang sama, kita pun jadi macam dia.
-
Bersikap matang dan tenang – Bila kita tenang, kita boleh buat keputusan yang lebih bijak.
-
Doakan yang baik-baik untuk dia – Kadang orang macam ni datang untuk uji kesabaran kita. Kita doa, mudah mudahan dia berubah.
Hakikatnya, musuh yang paling mudah kita kenal ialah musuh yang berani menunjukkan wajahnya. Tetapi yang paling sukar ialah mereka yang tersenyum di depan kita, namun diam-diam menyimpan niat yang berbeza di belakang.
Jangan terlalu kecewa jika suatu hari nanti topeng seseorang terbuka. Bukan kerana kita gagal menilai manusia, tetapi kerana ada hati yang memang pandai berlakon demi kepentingan sendiri.
Dalam hidup ni, kita akan sentiasa jumpa pelbagai jenis manusia. Ada yang jujur, ada yang setia dan ada juga yang bermuka-muka. Jika ada yang memilih untuk menjadi talam dua muka, itu urusan mereka. Tetapi jangan sesekali kita menjadi seperti mereka. Kekalkan kejujuran walaupun pahit kerana nilai seseorang bukan pada apa yang dia katakan di depan orang tetapi pada apa yang dia lakukan ketika orang itu tiada. Biarlah kita dikenali sebagai orang yang jujur dan ikhlas walau kadang tak semua suka.
Allah tahu apa yang dalam hati. Kita tak perlu balas dengan kebencian. Teruskan jadi diri sendiri, buat baik dan biarkan masa serta kebenaran yang buktikan siapa kita. Percayalah kebenaran mungkin lambat muncul, tetapi ia tidak pernah sesat jalan. Apa yang tersembunyi akhirnya akan terbongkar juga.
Hello kawan, hidup ni singkat. Jangan sia siakan tenaga untuk layan orang yang penuh kepura puraan. Kita fokus pada apa yang penting iaitu keluarga, rezeki yang halal dan hati yang tenang.
Terima kasih sudi baca sampai habis. Jangan lupa kongsi entri ni kalau rasa bermanfaat. Jumpa lagi di tulisan KakYa yang seterusnya. Jaga hati, jaga diri...Kita jumpa lagi dientri yang akan datang.

0 Ulasan
Assalamualaikum. Salam Ukhuwah Fillah. Terima Kasih Sudi Singgah Dan Tinggalkan Komen.