Terapi Hati Seorang KakYa

Menulis Jadi Terapi : Cara KakYa Rawat Emosi Dan Kuatkan Semangat


Dalam hidup sebagai wanita, isteri, ibu dan juga pekerja ada masanya kita rasa penat, lelah dan hilang semangat. Tapi tak semua rasa boleh diluah dengan suara. Dan tak semua orang boleh faham apa yang kita tanggung. Bagi KakYa, bila sedih datang menjengah… menulis jadi pelarian. Tapi dalam masa yang sama, ia juga jadi penawar sebenarnya. 


Menulis bukan sekadar hobi. Ia adalah terapi emosi yang paling jujur buat diri KakYa. KakYa dah start menulis bermula masa sekolah menengah, hantar cerpen ke syarikat surat khabar, majalah dan sebagainya.. Ada beberapa cerpen yang pernah tersiar di halaman surat khabar utama satu tika dulu. KakYa betul betul aktif masa tahun 1999, masa tu banyak jugak la hantar cerpen dan dapat duit poket bila cerpen atau puisi tersiar. Rezeki la jugak daripada hobi dapat buat duit kat situ. 


Menulis Buat Diri Happy


Bagi KakYa menulis ni buat KakYa happy dan jugak satu terapi ... Bila datang perasaan yang KakYa rasa terlalu berat, dan tak tahu nak luah pada siapa, KakYa akan capai pen dan kertas… atau buka telefon terus menulis di skrin. Bila jari dah mula menari, ayat demi ayat keluar sendiri tanpa perlu kita nak 'push' sangat sepertimana mencari idea untuk buat produk review.... 

Sekarang ni kebanyakan tulisan KakYa ada yang KakYa simpan, ada juga yang KakYa kongsi di blog atau di media sosial. Dulu rajin la jugak duk tulis cerpen tapi bila usia makin meningkat dah rasa malas pulak nak tulis cerpen.Tulis sekadar satu luahan dan bila kita tulis kita dapat satu kepuasan kat situ. 

Menulis Salah Satu Cara Untuk Luah Perasaan Tanpa Bercerita


Kadang, orang tak nampak kita terluka. Tapi tulisan nampak. Kadang bila kita bersuara, suara kita tak didengar. Tapi ayat yang kita tulis, mampu menyentuh jiwa orang lain. Sebenarnya menulis ni kan bukan saja menenangkan jiwa, malah bantu kita kenal diri sendiri dengan lebih dalam. Korang rasa betul ke tak ..

Sebagai seorang wanita yang bekerja yang berdepan dengan pelbagai ragam manusia dan mengurus keluarga, tekanan bukan benda asing buat KakYa. Bila tak mampu menangis depan orang, KakYa menangis dalam tulisan. Bila rasa nak jerit tapi tak boleh, KakYa menulis sepuas hati. Setiap perenggan jadi tempat untuk melepaskan semua beban yang KakYa pikul.

Kekuatan KakYa Melalui Penulisan


Ramai wanita kat luar sana mencari kekuatan melalui membaca, ada yang cari ketenangan dengan cara memasak dan ada juga yang jumpa kedamaian dengan menulis. KakYa percaya, setiap wanita ada cara tersendiri untuk sembuh. Dan menulis ialah cara KakYa untuk sembuh dan terus hidup.

Setiap kali KakYa tulis, KakYa belajar redha. Belajar bersyukur walaupun susah. Belajar untuk lepaskan, bukan simpan sendiri. Menulis juga adalah satu bentuk pengurusan emosi yang berkesan sebenarnya. Bila kita keluarkan rasa dari hati dan tukarkan jadi ayat, kita bukan saja lepaskan beban tapi kita juga mula faham apa yang sedang berlaku dalam diri kita.

Dan selagi KakYa menulis, itu tandanya KakYa masih kuat, masih ada nyawa dan masih mampu untuk terus melangkah.

Seketul KakYa,
BUKAN Seketul Jagung

Catat Ulasan

0 Ulasan