Aktivis Politik Tidak Dibenarkan Mengajar Agama Islam Dalam Negeri Selangor

Aktivis Politik Tidak Dibenarkan Mengajar Agama Islam Dalam Negeri Selangor |  Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menjunjung titah DYMM Sultan Selangor yang menitahkan agar agama Islam tidak dipolitikkan dan dijadikan sebagai bahan politik oleh mana-mana pihak di Negeri Selangor khususnya di masjid dan surau.
Bagi menjaga kesucian agama Islam di Negeri Selangor, DYMM Sultan Selangor tidak perkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada mana-mana aktivis politik kerana dikhuatiri ia boleh disalahgunakan untuk kepentingan mana-mana parti politik yang akhirnya akan membawa kepada fitnah, perselisihan dan perpecahan umat Islam di Negeri Selangor serta mencemarkan agama Islam.

DYMM Sultan Selangor turut menitahkan agar tauliah mengajar agama Islam di Negeri Selangor yang telah diberikan kepada mana-mana aktivis politik ditarik balik berkuat kuasa 31 Disember 2021.

Selaras dengan titah DYMM Sultan Selangor tersebut, Jawatankuasa Tauliah MAIS akan menyemak semula semua tauliah mengajar agama Islam yang telah dikeluarkan kepada pemegang tauliah di Negeri Selangor dan mana-mana tauliah yang telah diberikan kepada aktivis politik akan ditarik balik berkuat kuasa pada 31 Disember 2021.
 
Walau bagaimanapun, ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang memegang portfolio agama Islam masih boleh menyampaikan pengajaran agama Islam dengan syarat ia tidak menyentuh hal berkaitan politik dalam perkara yang disampaikan. Pengecualian ini juga adalah selaras dengan titah DYMM Sultan Selangor tersebut.

Adalah diingatkan mengajar agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 119 Enakmen yang sama, di mana jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan denda tiga ribu ringgit atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, mana-mana orang yang bertindak dengan cara yang menghina kuasa yang sah, atau mengingkari atau mempertikaikan titah DYMM Sultan Selangor atas sifat Baginda sebagai Ketua Agama Islam berhubung dengan penarikan balik tauliah mengajar agama Islam bagi mana-mana aktivis politik juga adalah merupakan suatu kesalahan di bawah perenggan 12(a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995) yang jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

YAD Tan Sri Dato' Seri Abdul Aziz bin Mohd Yusof

(Pengerusi MAIS)


Catat Ulasan

1 Ulasan

Assalamualaikum. Salam Ukhuwah Fillah. Terima Kasih Sudi Singgah Dan Tinggalkan Komen.