Maklumat Tentang Bendera Malaysia

Maklumat Tentang Bendera Malaysia | Bendera merupakan lambang kepimpinan, simbol penghormatan, martabat dan kedaulatan bagi sesebuah negara. Setiap negara mempunyai bendera yang tersendiri untuk mewujudkan perasaan bangga terhadap tanahair. Bendera ditakrifkan sebagai sebidang kain yang diperagakan bagi menunjukkan tanda dan lambang kewujudan yang juga dikenali sebagai panji dan obor. Bendera dalam budaya Melayu biasanya dikaitkan dengan kedudukan golongan Diraja yang memerintah.

Sejarah bendera Malaysia, Bendera Malaysia, maksud warna pada bendera Malaysia,berapa jalur pada bendera Malaysia,pencipta bendera Malaysia, Merdeka

Kenali Bendera Malaysia Jalur Gemilang


Terdapat 14 jalur merah dan putih melintang yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah. 

Jalur-jalur ini menandakan keanggotaan 13 buah negeri dan sebuah kerajaan Persekutuan iaitu Kedah, Pahang, Kelantan, Johor, Perak, Perlis, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Sarawak, Pulau Pinang, Sabah, Melaka dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Sejarah bendera Malaysia, Bendera Malaysia, maksud warna pada bendera Malaysia,berapa jalur pada bendera Malaysia,pencipta bendera Malaysia, Merdeka

Warna Merah pada Jalur Gemilang melambangkan keberanian dan bersedia menghadapi segala rintangan.

Warna Putih pada Jalur Gemilang melambangkan kesucian, keikhlasan dan kesungguhan.

Warna Biru pada Jalur Gemilang melambangkan perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Warna Kuning pada Jalur Gemilang melambangkan kedaulatan raja berpelembagaan.

Sejarah Bendera Malaysia


Pada 29 November 1949, Majlis Raja Raja dengan kerjasama Majlis Perundangan Persekutuan telah mengadakan pertandingan peringkat kebangsaan untuk memilih reka bentuk bendera bagi kerajaan yang bakal dibentuk. 

Dalam pertandingan mereka cipta bendera peringkat kebangsaan pada Mei 1948 tersebut, seramai 373 karyawan telah mengambil bahagian dan telah melalui proses pemilihan serta pertimbangan. Pada 15 November 1949 hanya tiga reka bentuk yang berjaya dipilih ke peringkat akhir dan ciptaan Encik Mohamed bin Hamzah (arkitek Jabatan Kerja Raya Negeri Johor) telah dipilih sebagai pemenang. 

Walau bagaimanapun reka bentuk bendera tersebut telah dibuat beberapa pindaan iaitu bulan sabit dan bintang yang pada asalnya berwarna putih digantikan dengan warna kuning bagi melambangkan warna Diraja dan telah diperkenankan oleh Mesyuarat Majlis Raja Raja pada 22 dan 23 Februari 1950. 

Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara. Reka bentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950. 

Sehubungan dengan itu, buat pertama kalinya Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan pegawai-pegawai King George VI pada 26 Mei 1950. 

Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan dan berkibar secara rasmi pada 31 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor seiring dengan berkumandangnya lagu Negaraku yang buat kali pertama diperdengarkan kepada umum. 

Bendera Persekutuan Tanah Melayu yang sebelum ini berjumlah 11 jalur melintang berwarna merah dan putih telah bertambah jalurnya kepada 14 jalur sebaik sahaja kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura dalam Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. Bendera ini dikenali sebagai Bendera Malaysia. Penambahan jalur ini adalah bagi mewakili tiga negeri tersebut. 

Walaupun Singapura dikeluarkan dari Malaysia pada Ogos 1965, jumlah jalur pada bendera Malaysia masih kekal termasuk ciri-ciri yang ada padanya. Setelah berkibar megah sejak tahun 1950, pada malam 31 Ogos 1997 sempena sambutan 40 tahun kemerdekaan negara, Tun Dr. Mahathir Mohammad yang merupakan Perdana Menteri Malaysia ketika itu telah mengukir sejarah dengan mengumumkan nama baharu bagi bendera Malaysia iaitu sebagai Jalur Gemilang. 

Sumber : Malaysia 2017 (Jabatan Penerangan Malaysia)

Pengertian Di Sebalik Nama Jalur Gemilang


Tahukah anda maksud di sebalik nama Jalur Gemilang. Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawap dan prihatin, kita perlulah mengambai tahu maksud nama Jalur Gemilang.

Jalur membawa maksud Bendera Malaysia yamg mempunyai 14 jalur Merah dan Putih. Lambang jalur pada Bendera Malaysia menggambarkan satu haluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah dalam menuju kegemilangan bangsa dan juga negara.

Gemilang membawa maksud bercahaya, terang-benderang dan cemerlang. Ianya melambangkan kecemerlangan negara Malaysia dan rakyat Malaysia serta kesungguhan, kegigihan dan kesanggupan rakyat untuk menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat petunjuk dan pedoman yang terang dan jelas.

Soalan Tentang Bendera Malaysia 


Apakah nama Bendera Malaysia?
- Nama bendera Malaysia ialah Jalur Gemilang.

Apakah warna Bendera Malaysia?
- Bendera Malaysia mempunyai empat warna iaitu merah, biru, putih dan kuning.

Terdapat berapa jalur pada Bendera Malaysia?
- Bendera Malaysia mempunyai 14 jalur.

Apakah warna bulan dan bintang pada bendera Malaysia?
- Warna bulan dan bintang pada Bendera Malaysia ialah warna kuning.

Maksud warna biru pada Bendera Malaysia?
- Maksud warna biru pada Bendera Malasia ialah perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Apakah maksud warna merah pada Bendera Malaysia?
- Maksud warna merah pada Bendera Malaysia ialah keberanian dan bersedia menghadapi segala rintangan. 

Apakah maksud warna kuning pada Bendera Malaysia?
- Maksud warna kuning pada Bendera Malaysia ialah kedaulatan raja berpelembagaan.

Apakah maksud warna putih pada Bendera Malaysia?
Maksud warna putih pada Bendera Malaysia ialah kesucian, keikhlasan dan kesungguhan.

Apakah maksud bintang pecah 14 pada Bendera Malaysia?
- Maksud bintang pada Bendera Malaysia ialah
perpaduan 13 buah negeri dan kerajaan persekutuan. 

Apakah maksud anak bulan pada Bendera Malaysia?
- Maksud anak bulan pada Bendera Malaysia ialah agama islam sebagai agama rasmi negara.

Siapakah pencipta Bendera Malaysia?
- Pencipta Bendera Malaysia ialah Allahyarham Mohamed bin Hamzah, seorang kakitangan Jabatan Kerja Raya di Johor dalam satu pertandingan yang diadakan pada tahun 1949.

Bilakah nama baru Bendera Malaysia iaitu Jalur Gemilang diumumkan?
- Nama baru Bendera Malaysia iaitu Jalur Gemilang diumumkan pada 31 Ogos 1997 bersempena hari kemerdekaan negara ke 40.

Siapakah yang mengumumkan nama baru Bendera Malaysia iaitu Jalur Gemilang?
- Nama baru Bendera Malaysia Jalur Gemilang telah diumumkan oleh Tun Dr Mahathir Bin Mohamad. 

Bilakah Jalur Gemilang mula-mula dikibarkan kepada masyarakat di Tanah Melayu? 
- Jalur Gemilang mula-mula dikibarkan kepada masyarakat di Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957

Di manakah Jalur Gemilang dikibarkan semasa pengistiharan kemerdekaan?
 - Jalur Gemilang dikibarkan di Stadium Merdeka semasa pengistiharan kemerdekaan. 

Ok itu saja perkongsian KakYa kalini sempena bukan kemerdekaan Malaysia. Semoga memberi manfaat buat kita semua. .

Catat Ulasan

0 Ulasan