Risiko Penyakit Mulut Di Kalangan Pesakit Diabetes

Risiko Penyakit Mulut Di Kalangan Pesakit Diabetes | Kenyataan bahawa penyakit diabetes atau kencing manis adalah penyakit orang tua adalah mitos. Golongan muda seawal remaja juga berisiko menghidap diabetes kerana perubahan gaya hidup seperti pengambilan gula berlebihan dan kurang bersenam atau aktiviti fizikal. 


Terlalu banyak glukos (gula) dalam darah akibat diabetes boleh mangakibatkan jangkitan dan masalah lain dalam mulut.

Mulut anda merangkumi gigi, gusi, rahang, tisu seperti lidah, lelangit dan lantai mulut serta bahagian dalam pipi.

Glukos hadir dalam air liur iaitu cecair yang membasahkan mulut. Apabila diabetes tidak terkawal, paras gula yang tinggi dalam air liur menolong bakteria (plak) membiak. 

Bakteria menyebabkan kerosakan gigi atau gigi berlubang. Bakteria jenis yang lain menyebabkan penyakit gusi.


Tahukah Anda Penghidap Diabetes Mempunyai 3-4 Kali Ganda Risiko Dijangkiti Penyakit Mulut

Penghidap diabetes mempunyai 3-4 kali ganda risiko untuk dijangkiti penyakit mulut. Anda boleh mengalami penyakit gusi lebih kerap, lebih teruk dan mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh.

Apabila bakteria membiak dan rawatan tidak diambil segera, gusi boleh dijangkiti kuman dan menyebabkan gingivitis atau radang pada gusi.

Gingivitis yang tidak terkawal akan menyumbangkan kepada periodontitis yang akan menyebabkan pesakit kehilangan lebih banyak gigi.

Jika anda mengalami penyakit gusi , ini juga akan menyukarkan kawalan gula dalam darah. 

Kajian menunjukkan bahawa merawat penyakit gusi menyenangkan kawalan gula dalam darah.

Kategori Diabetes

Jenis I, yang diakibatkan oleh ketiadaan insulin.

Jenis II, yang diakibatkan oleh kerentaan terhadap insulin dan kecacatan rembesan insulin.

Aspek Sistemik Penyakit Diabetes

Bermulanya gejala-gejala dan tanda dalam penyakit Jenis I diabetes adalah cepat, dan ia termasuk tiga tanda-tanda klasik polyphagia (sentiasa lapar), polydipsia (sentiasa dahaga) dan polyuria (kerap buang air kecil), serta kehilangan berat badan, lebih sensitif, mengantuk dan keletihan. 

Gejala diabetes Jenis II berkembang lebih lambat, dan biasanya tanpa adanya tanda-tanda klasik; sebaliknya, pesakit ini mungkin mengalami masalah kegemukan dan boleh mempunyai pruritis (kegatalan), neuropati periferal (kekebasan) dan penglihatan menjadi kabur.

Tanda Tanda Dan Gejala Penyakit Diabetes Di Rongga Mulut

Terdapat beberapa tanda dan gejala penyakit diabetea di rongga mulut antaranya;

Karies Gigi

• Pesakit diabetes lebih mudah terdedah kepada gangguan sensori (deria rasa), gangguan tisu periodontium (gusi) dan kelenjar air liur, yang boleh meningkatkan risiko mereka mendapat karies gigi baru dan berulang. 

• Kajian menunjukkan lebih banyak karies gigi terjadi pada pesakit diabetes.

• Faktor-faktor yang mempengaruhi terjadinya pembentukan karies adalah termasuk kadar bakteria Streptococcus mutans, kejadian karies sebelumnya dan penyakit diabetes yang tidak terkawal.

Disfungsi Kelenjar Air Liur

• Keadaan mulut yang kering, atau xerostomia, telah dilaporkan terjadi pada orang yang menghidap penyakit diabetes.

• Pengeluaran air liur mungkin terjejas oleh pelbagai keadaan, termasuk neuropati (mengikut tahap) dan kekeringan mulut yang disertai rasa dahaga.

Penyakit Kelainan Tisu Mukosa

• Diabetes juga dikaitkan dengan kebarangkalian yang lebih besar mendapat kelainan tisu mukosa yang tertentu.

• Prevalen yang lebih tinggi untuk mendapat Lichen planus dan ulser yang berulang serta jangkitan kulat.

Jangkitan Kulat

• Satu lagi tanda oral; penurunan tahap imun sistemik dimana terjadinya jangkitan kulat seperti kandidiasis oral.

• Jangkitan fungus pada permukaan mukosa mulut dan prostesis (gigi palsu) lebih kerap ditemui di kalangan orang dewasa yang menghidap diabetes. 

• Jangkitan kandidiasis oral, ada hubungan dengan orang yang menghisap rokok, penggunaan gigi palsu dan tahap glukosa dalam darah (glisemia) yang tidak terkawal di kalangan orang dewasa yang menghidap diabetes.

Gangguan Deria Rasa

• Deria rasa mungkin terjejas teruk di kalangan pesakit diabetes.

• Satu kajian melaporkan bahawa lebih daripada satu pertiga daripada orang dewasa yang menghidap diabetes mengalami deria rasa yang berkurangan. 

• Disfungsi deria rasa menghalang keupayaan untuk mengekalkan diet yang betul dan ini boleh membawa kepada tahap glisemia yang tidak terkawal.

Gingivitis Dan Periodontitis

• Gingivitis adalah pembentukan awal jangkitan bagi penyakit periodontal yang memberi kesan kepada gigi dan tulang penyokong gigi, menyebabkan gusi berdarah.

• Diabetes berkaitan dengan kejadian dan perkembangan seperti gingivitis, periodontitis dan kehilangan tulang alveolar.

• Diabetes yang tidak terkawal, terutama hubungannya dengan merokok, adalah faktor risiko untuk mendapat periodontitis.

• Infeksi daripada penyakit periodontitis juga menyumbang kepada masalah kawalan glisemia pada pesakit diabetes.

• Merawat penyakit periodontitis kronik juga adalah penting untuk merawat penyakit diabetes.

Pencegahan Daripada Mendapat Komplikasi Mulut Pada Pesakit Diabetes

Antara langkah langkah pencegahan yang boleh dilakukan daripada mendapat kompilasi mulut pada pesakit diabetes adalah;

• Ikut nasihat doktor anda tentang pemakanan dan ubat-ubatan untuk mengekalkan paras glukosa darah anda sehampir mungkin dengan yang normal.

• Bersihkan gigi dan gusi anda dengan berus gigi yang sesuai dan-ubat gigi yang mengandungi fluorida.

• Lawati doktor gigi anda secara tetap dan berkala untuk mendapatkan nasihat tentang penjagaan pergigian di rumah, pencegahan awal dan rawatan pergigian pencegahan bertujuan untuk mengekalkan gigi dan gusi anda sentiasa sihat. 

Doktor pergigian anda perlu tahu mengenai paras glukosa darah dan ubat-ubatan yang anda ambil.

• Elakkan keadaan mulut yang kering, minum banyak air dan mengunyah gula-gula getah yang tidak mengandungi gula untuk merangsang pengeluaran air liur.

• Jika anda merokok, berusahalah untuk berhenti merokok.

Kesimpulannya, kawalan penyakit pergigian boleh dicapai dengan mengawal kadar glukosa dalam darah dan mengawal kebersihan mulut.

Pentingnya ilmu pendidikan tentang diabetes terutama berkaitan kawalan glisemia (gula dalam darah), pembersihan plak pergigian, menguruskan masalah mulut kering, menghentikan merokok, menguruskan diet/pemakanan dan mendapatkan khidmat rawatan dan penjagaan pergigian profesional.

Kajian telah menunjukkan kesihatan pergigian yang baik akan membantu kawalan gula pada pesakit yang bermasalah dalam mengawal penyakit diabetes.

Kredit: Portal MyHealth, Pakar Bedah Pergigian Dr. Sai Mala

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. thank you for sharing, ramai igt diabetes ni luka tanak baik saja..walhal byk faktor lagi yg perlu kita tgk kan

    BalasPadam
  2. semoga kesihatan kita semua baik2 saja

    BalasPadam

Assalamualaikum. Salam Ukhuwah Fillah. Terima Kasih Sudi Singgah Dan Tinggalkan Komen.