Ujub Dan Hukumnya

Ujub Dan Hukumnya | Alhamdulillah Syukur Ya Allah, sekejap tadi KakYa diberi peluang oleh Allah SWT untuk sama sama menimba ilmu di group WhatsApp Hikmah Berzikir kelolaan Bonda Muzaimah. Perkongsian Bonda tadi mengenai Ujub. Ujub? Apa sebenarnya Ujub ni? KakYa kongsikan untuk sahabat dan juga pembaca blog KakYa. Semoga  ilmu yang KakYa kongsikan ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat buat sahabat sekalian. InsyaAllah sama sama kita berkongsi ilmu. Sahaja aku berkongsi ilmu ini kerana Allah SWT. Aamin aamin Ya Allah Ya  Mujib. Izinkan Aku Ya Allah berbagi ilmu bersama sahabat. 

www.akifimtiyaz.com

Maksud Ujub

Ujub ialah perasaan kagum atas diri sendiri. Ajaib dengan diri sendiri. Terasa diri sendiri hebat. Bangga akan diri sendiri. Terpesona dengan kehebatan diri sehingga terlupa dan tidak rasa hebat dengan Allah SWT. 

Ujub adalah salah satu sifat tercela atau sifat yang harus dihindari oleh ummat islam. Ini kerana jika kita mempunyai sifat ujub maka kita akan menjadi sombong dan juga riak. 

Perasaan ujub boleh datang pada bila-bila masa.

1. Orang yang rajin beribadah 
- Kagum dengan ibadahnya.

2. Orang yang berilmu
- Kagum dengan ilmunya.

3. Orang yang cantik, 
- Kagum dengan kecantikannya.

4. Orang yang dermawan, 
- Kagum dengan kebaikannya.

5. Orang berjawatan tinggi
- Kagum dengan jawatannya.

6. Orang yang bijak berpidato
- Kagum dengan pidatonya.

7. Orang yang petah berbicara
 - Kagum dengan kepetahannya

8. Orang yang berdakwah
- Kagum dengan dakwahnya.

Walhal semua kelebihan atau keistimewaan itu adalah milik Allah dan diberikan kepada manusia.

Hukum Ujub 

Sepertimana yang kita tahu, Ujub adalah salah satu sifat tercela dan haram bagi kita ummat islam memiliki sifat ini. Seseorang muslim seharusnya  merasa rendah diri di hadapan Allah SWT dan tidak memiliki sifat ujub ini kerana, Allah adalah maha pemilik dan penguasa langit dan bumi. 

Sufyan At-Tsauri mengatakan ujub adalah perasaaan kagum pada dirimu sendiri sehingga kamu merasa bahawa kamu lebih mulia dan lebih tinggi darjat.

Muthrif rahimahullah telah berkata, “Kalau aku tidur tanpa tahajud dan bangun dalam keadaan menyesal, adalah lebih baik dari aku bertahajud tetapi berasa kagum dengan amalan tahajud tadi.”

Seorang sahabat Nabi, Abu Ubaidah Al-Jarrah yang menjadi imam. Setelah selesai beliau berkata, “Syaitan sentiasa menghasut aku supaya merasa aku ini lebih hebat dari orang di belakangku. Aku tidak mahu jadi imam sampai bila-bila.”

Ingatlah, semua kelebihan adalah anugerah dari Allah, oleh itu kagumlah hanya kepada Allah, bukan diri sendiri.

"Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri." (Surah An-Nisaa', sebahagian ayat 36)

Nabi Muhammad SAW bersabda,

"Apabila seorang lelaki sedang berjalan dengan memakai baju yang kemas dan rambut yang disikat menyebabkan dia rasa kagum dengan pakaian dan dandanan rambutnya (perasan lawa). Lalu Allah tenggelamkan dia ke dalam muka bumi dan dia terus ditenggelamkan sampai hari kiamat.” (HR Bukhari dan Muslim)

Nabi Muhammad SAW bersabda,

"Ada tiga hal yang dapat membinasakan diri seseorang iaitu kedekut yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti dan ujub (rasa kagum dengan diri sendiri).” (HR Al-Bazzar dan Al-Baihaqi).

Alhamdulillah Syukur Ya Allah dapat KakYa berkongsi sedikit ilmu buat sahabat pada petang ini. Ini saja perkongsian KakYa untuk post kali ini. KakYa akan kongsikan lagi mengenai Cara Menghindari Sifat Ujub dalam post yang akan datang. Semoga kita semua dijauhkan Allah daripada sifat Ujub ini. Aamin aamin Ya Mujib. 

Catat Ulasan

1 Ulasan

Assalamualaikum. Salam Ukhuwah Fillah. Terima Kasih Sudi Singgah Dan Tinggalkan Komen.