Terjemahan Surah Al Fatihah

Terjemahan Surah Al Fatihah | Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam.Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari akhirat) Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

www.akifimtiyaz.com




Muqaddimah Surah Al Fatihah 
Surah ini dinamakan ”AL-FATIHAH” (Pembuka atau yang mula-mula). la juga dinamakan ”Ummu’l-Qur’an” (Ibu Al-Quran) dan ”Ummu’l-Kitab (Ibu Kitab Suci), kerana mengandungi secara ringkas dasar-dasar yang kerananya Al-Quran diturunkan untuk menerangkannya satu persatu, ia-itu:

(1) Menetapkan wujudnya Allah ’Azza wa Jalla yang mencipta seluruh alam, sebagaimana yang tersebut dalam firmanNya yang bermaksud: ”Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”

(2) Menyebutkan kesimpulan sifat-sifat Al-Jalaal (Ke-besaran) dan sifat-sifat Al-Kamaal (Kesempurnaan), sebagai-mana yang terkandung dalam firmanNya yang bermaksud: “Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani”

(3) Menyatakan kepada manusia akan hari kiamat yang padanya kelak ia akan menerima balasan amalnya, sebagai-mana yang tersebut dalam firmanNya yang bermaksud: ”Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat)” , supaya seseorang itu tidak menumpukan usahanya kepada mencari ni’mat hidup dunia dan kelazatannya semata-mata.

(4) Menerangkan tugas yang kerananya manusia diciptakan oleh Allah Ta’ala sebagaimana yang tersebut dalam firmanNya yang bermaksud: “Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah”. Sebab ibadat itu dengan segala jenisnya tak dapat tidak diperlukan oleh manusia kerana ia menghidupkan iman, menyihatkan tubuh badan, memper-baiki akhlak, dan mensucikan jiwa.

Dengan iman yang hidup, tubuh badan yang sihat, akhlak yang baik, dan jiwa yang suci, berhasillah kebahagiaan manusia kebahagiaan perseorangan dan kebahagiaan orang-orang yang sejenis dengannya.

(5) Memperkatakan tentang kelemahan manusia, bahawa ia tidak akan dapat melakukan sesuatu pun melainkan dengan pertolongan Allah Ta’ala dan izinNya, sebagaimana yang tersebut dalam firmanNya yang bermaksud: “dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.”

(6) Menerangkan bahawa perkara yang utama dihajati dan dipohonkan daripada Allah Ta’ala ialah memperoleh hidayah dan taufik ke jalan yang membawa kebahagiaan, dan cara melaluinya, sebagaimana yang disebutkan dalam firmanNya yang bermaksud: “Tunjukilah kami jalan yang lurus”. Kerana telah sedia ada berbagai jalan yang akan ditempuh, dan cara-cara melaluinya pula banyak, berbilang-bilang, dan berlain-lain, disebabkan berlain-lainnya tabi’at, adat, dan hawa nafsu yang beranika ragam.

(7) Mengarahkan manusia kepada memerhati dan memikirkan kisah-kisah umat-umat manusia yang telah lalu dan hal ehwalnya, supaya ia memilih akan apa yang menyebabkan kebahagiaan mereka, dan berjaga-jaga serta menjauhkan diri dari apa yang menyebabkan kecelakaan mereka, sehingga dapatlah ia hidup di dunia ini dalam keadaan yang selamat, dan berjaya mendapat ni’mat yang kekal pada hari akhirat kelak dalam syurga ”Daru’s-Salaam”.

Surah ini juga dinamakan ”As-Sab’u’l-Mathaani” (Tujuh ayat yang diulang-ulang) bacaannya dalam sembahyang yang berbilang-bilang rak’at, atau (tujuh dasar yang diulang-ulang) huraiannya di dalam Al-Qur’an.

Rasulullah (s.a.w.) pernah menyatakan kelebihan surah ini dengan sabdanya yang berma’na: ”Tidak ada di dalam Kitab-kitab yang telah diturunkan oleh Allah satu surah yang sama kelebihannya seperti Ummu’l-Qur’an”.

Demikianlah kelebihan surah Al-Fatihah yang diwajibkan kepada orang yang mengerjakan sembahyang membacanya. Sekurang-kurangnya tujuh belas kali sehari semalam jika ia tidak musafir.

Catat Ulasan

0 Ulasan