Munajat Ramadhan

May 01, 2020

Munajat Ramadhan | Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim. Dalam dakapan Ramadhan yang suci ini, dengan rasa rendah diri, kami yang kerdil dan hina ini memohon doa dengan penuh pengharapan kepadaMu Ya Allah, semoga Engkau sudi mendengar permintaan kami, kerana sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Mendengar.

www.akifimtiyaz.com

Ya Fattahu Ya ‘Alim Ajarkanlah kami yang lemah ini untuk melihat jalan keluar daripada semua masalah yang membelenggu kami, bukakanlah hijab kepada kami yang tak mampu melihat setiap kebaikan pada kejadian dan takdirMU. Ya Allah, takdirkanlah yang baik-baik untuk diri kami.  Janganlah kau menguji kami pada apa yg tidak mampu kami lalui. Bukakanlah pintu-pintu rahmatMU untuk kami Ya Allah.

Ya Allah Rabbul Jalil  Sejahterakanlah untuk kami dengan kesihatan yang baik, supaya dengannya kami dapat beribadah kepadaMU. Ya Allah, ampunkanlah segala dosa kami, kerana kami terlalu banyak berdosa kepadaMU Ya Allah. Kami lupa akan Engkau ketika sihat, kami ingat padaMU bila ditimpa sakit, kami lupa kepadaMU ketika senang, kami ingat kepadaMU bila datang kesusahan. Kami lupa kepadaMU disaat kami gembira, kami ingat kepadaMuU ketika sedih dan kecewa, kami habiskan usia muda dengan keseronokan dunia, kami mula mengingatiMU ketika usia sudah tua, justeru Ya Allah, ampunilah semua dosa kami. Berilah kekuatan kepada kami untuk melawan hawa nafsu dan dunia yang sentiasa melalaikan kami daripada mengingatimu Ya Allah.

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim Ampunkanlah dosa kedua ibubapa kami, setiap titik susu ibu yang mengalir dalam diri kami, kau gantilah dengan kebajikan untuknya yang boleh membawanya ke syurgaMU. Ya Allah Ya Rahman, pada setiap keringat yang mengalir pada tubuh ayah kami dalam mencari rezeki kepada keluarga kami, kau gantikanlah dengan keampunan yang membawanya ke syurgaMU Ya Allah. Sesungguhnya pengorbanan mereka tidak akan mampu kami membalasnya. Bahkan terkadang mereka hidup dalam kesusahan dan kesempitan, sedangkan kami berada dalam kesenangan dan kemewahan. Justeru kurniakanlah kepada kedua ibubapa kami tempat yg istimewa di syurgaMU Ya Allah.

Ya Allah Kami juga memohon ampun untuk kaum kerabat kami, sahabat-sahabat kami dan guru-guru kami yang terlebih dahulu pergi meninggalkan kami ke alam barzakh. Golongkanlah mereka dalam golongan orang-orang yang Engkau redhai. Apabila tiba pula giliran kami menuju barzakhMU, maka Kau ambillah kami dalam keadaan yang baik-baik; dalam keampunan dan rahmatMU Ya Allah.

Ya Allah Ya Aziz  Kurniakanlah kepada kami jiwa yang tenang dan tenteram. Hiasilah hati kami dengan sifat syukur, redha, sabar, ikhlas, amanah dan bertanggungjawab. Kau jauhkanlah kami daripada sifat ujub, riak, takabbur, fitnah, mengadu domba, sangka buruk dan khianat.

Ya Rashid Ya rahman Ya Rahim Jika ada dikalangan kami mereka yang diuji dengan kesusahan, maka kau bantulah mereka, permudahkanlah urusan mereka, jika ada di kalangan kami mereka yang bersedih hati, berikanlah ketenangan dan jalan keluar kepada mereka, jika ada di kalangan kami sedang berhajat dengan keperluannya, maka tunaikanlah hajat mereka, dan cukupkanlah keperluan mereka, jika ada di kalangan kami mereka yg diuji dengan sakit, maka kau sembuhkanlah mereka Ya Allah agar dapat beribadah bersama kami. Jika ada dikalangan kami mereka yang derhaka kepada ibubapa atau terkurang dalam melayani mereka, maka kau ampunilah mereka, jadikanlah kami anak-anak yang taat dan berbakti, sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Mendengar dan Mengasihi.

Ya Allah Ya Malikal Mulk Ya Razak Ya Fattahu Ya ‘Alim Kurniakan kepada kami rezeki yang halal lagi diberkati dan jadikanlah dengan rezeki itu kami semakin dekat denganMU. Sebaliknya, janganlah kau jadikan kami daripada golongan yang lupa diri setelah mendapat kurniaannMU.

Ya Allah Bantukanlah kami dalam menjalankan urusan agama kami. Elokkanlah urusan dunia kami, yang padanya tempat kami mencari kehidupan. Elokkanlah urusan akhirat kami, yang padanya tempat kami akan kembali untuk selama-lamanya. Jadikanlah kehidupan kami ini sebagai tambahan segala kebaikan kepada kami, dan jadikanlah kematian sebagai ketenangan kepada kami dari segala kejahatan, Sesungguhnya kami ingin kembali kepadaMU dengan jiwa yang tenang.

Ya Allah Ya Zal Jalali Wal Ikram Ya Allah, janganlah kau jadikan ramadhan ini sebagai yang terakhir buat kami, temukanlah kami dengan Ramadhan yang akan datang. Tapi, andai ini Ramadhan terakhir buat kami, jadikankanlah puasa kami sebagai puasa yang Kau rahmati, jadikanlah ramadhan ini paling bererti, penuh dengan cahaya iman, menerangi kegelapan hati kami menuju redha serta kasih sayangMU Ya Allah. Jadikanlah ramadhan ini sebagai penghapus dosa-dosa kami.

Ya Allah, temukanlah kami dengan lailatul qadr. Pilihlah kami dikalangan hambaMu yang dapat beramal di malam Al-Qadr. Ya Allah, terimalah amalan kami, terimalah taubat kami, ampunkanlah segala dosa kami, amankanlah kehidupan kami disana nanti yg kekal abadi. Kurniakanlah kepada kami syurgaMU yang maha luas nikmatnya. Aamin aamin Ya Allah Ya Mujib

Artikel Menarik yang Lain

1 Sahabat Setia

Assalamualaikum. Salam Ukhuwah Fillah.
Terima Kasih Sudi Singgah. Ada Masa Jangan Lupa Tinggalkan Komen.