Kelebihan Berzikir

Kelebihan Berzikir | Zikir berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud ingat atau sebut. Di dalam Islam, zikir lebih merujuk kepada ingat kepada Allah atau menyebut nama-nama Allah. Di dalam Islam, zikir kepada Allah adalah sebahagian ibadat dan orang Islam yang melakukannya mendapat pahala. Alim ulama bersepakat mengatakan zikir yang paling disukai oleh Allah adalah SubhanAllahi Wabihamdi. Ini berdasarkan suatu hadis yang bermaksud:

"Dari Abu Dhar berkata, lalu beliau bertanya kepada Muhammad Rasullullah, "Sukakah engkau (Muhammad) memberitahu ucapan apakah yang paling disukai oleh Allah?"(Muhammad menjawab) SubahanAllahi Wabihamdi (Maha Suci Allah dan Segala Puji bagi-Nya.

www.akifimtiyaz.com

Zikir bukan sahaja dilakukan selepas solat tapi boleh pada pada bila-bila masa. Sibuk dengan aktiviti harian bukan bermakna tiada ruang untuk berzikir. Ia paling mudah dilakukan, namun kebaikannya terlalu besar untuk disia-siakan. Banyak kelebihan zikir antaranya;

1. Zikir boleh menjauhkan syaitan dan menghancurkan kekuatannya.

2. Zikir boleh melahirkan cinta sejati kepada Allah SWT kerana cinta itulah merupakan roh Islam, jiwa agama dan sumber kejayaan dan kebahagiaan. Barangsiapa ingin mendapat cinta Ilahi itu, maka hendaklah ia berzikir sebanyak-banyaknya.

3. Zikir mendatangkan hakikat muraqabah. Muraqabah itu membawa seorang kepada martabat Ihsan. Dengan Ihsan, manusia dapat beribadah kepada Allah SWT dalam keadaan seolah-olah ia melihat-Nya (keadaan seperti inilah merupakan tujuan asasi setiap perjalanan para sufi).

4. Zikir membawa seorang kepada penyerahan diri yang bulat kepada Allah SWT. Dengan ini, lama kelamaan maka setiap urusan dan dalam setiap keadaan Allah SWT menjadi pelindung dan pembantunya.

5. Zikir membawa seorang kepada taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah SWT. Jika zikir itu bertambah banyak, maka dengan sendirinya ia bertambah dekat kepada Allah SWT dan sebaliknya, jika ia bertambah lalai daripada berzikir, maka dengan sendirinya ia makin bertambah jauh daripda Allah SWT.

6. Zikir adalah membuka pintu makrifat (mengenal) Allah SWT.

7. Zikir boleh menghidupkan hati. Perbandingan zikrullah dengan hati seseorang ibarat ikan dengan air. Ingatlah, apakah halnya ikan itu kalau ia tidak berada di dalam air?

8. Zikir adalah santapan bagi roh dan hati. Andaikata keduanya tidak dapat menikmati santapannya, maka adalah sama seperti badan yang tidak mendapat makanan.

9. Zikir boleh membersihkan hati daripada kekaratan (kekotoran) sepertimana diterangkan di dalam hadis, bahawa tiap-tiap sesuatu mempunyai daki dan kotoran baginya. Daki dan kotoran hati ialah keinginan dan kelalaian yang tidak dapat dibersihkan melainkan dengan berzikir.

10. Nur zikir sentiasa bersama dengan orang yang berzikir sama di dunia ini atau di dalam kubur.

Firman Allah SWT. yang bermaksud :
“Apakah orang yang sudah mati (sudah sesat) kemudian Kami hidupkan ia (menjadi ia beragama Islam) dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang. Dengan cahaya itu, dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia (nur itu sentiasa bersama dengannya) serupa dengan orang-orang yang berada di dalam keadaan gelap gelita yang tidak dapat keluar daripadanya.”
(Surah Al-An’am ayat 122)

Demikianlah beberapa kelebihan amalan zikir. Sesungguhnya kepentingan zikrullah tidak boleh dipertikaikan. Ia adalah jalan para Anbiya dan Auliya yang terbukti berjaya melahirkan hamba Allah yang bertakwa dan bersih jiwa dan nuraninya, yang memancarkan cahaya ketenangan kepada seluruh makhluk dan alam. Jadilah hamba Allah yang hidup hati nuraninya dengan cahaya yang akan menerangi kita di dunia dan akhirat.

Sumber : Amalan Doa Dan Zikir Bonda

Catat Ulasan

1 Ulasan

Assalamualaikum. Salam Ukhuwah Fillah. Terima Kasih Sudi Singgah Dan Tinggalkan Komen.