Bayar Fidyah Secara Online

April 23, 2020

Bayar Fidyah Secara Online | Selesaikan pembayaran fidyah segera secara online. Ramai yang bertanya tentang bayaran fidyah terutama dari kalangan ibu mengandung, ibu yang menyusukan anak dan orang tua yang uzur belum sempat menggantikan puasa ataupun tidak berkemampuan melaksanakan ibadah puasa. Jom sama-sama kita fahami beberapa perkara berkaitan fidyah dan panduan pembayarannya. 

www.akifimtiyaz.com

*a) Apa Maksud Qada' Puasa?*
Qada' puasa ialah menggantikan puasa Ramadan yang tertinggal atas sebab-sebab tertentu.

*b) Apa Maksud Fidyah?*
Fidyah merupakan bayaran denda yang dikenakan kepada seseorang yang tidak dapat mengganti puasanya di bulan Ramadan pada sesuatu tahun sehinggalah tibanya bulan Ramadan tahun berikutnya

*c) Apakah Hukum Membayar Fidyah?*
Hukum membayar fidyah adalah WAJIB. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Dengan membayar fidyah tidak bermaksud mereka tidak perlu lagi menggantikan puasanya kerana puasa tersebut tetap wajib digantikan mengikut bilangan hari yang telah ditinggalkannya. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.

*d) Apakah Sebab-Sebab Dikenakan Fidyah?*

1. Meninggalkan puasa kerana tua.
Orang tua yang tidak mampu berpuasa dan jika mereka berpuasa akan memudaratkan dirinya sendiri dan kesihatan tubuh badannya.

2. Meninggalkan puasa kerana sakit kronik.
Orang yang sakit berpanjangan dan tidak diharapkan boleh sembuh berdasarkan pengesahan doktor perubatan.

3. Meninggalkan puasa kerana hamil.
Wanita yang bimbang akan keselamatan ke atas bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Mereka hendaklah membayar fidyah dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.

4. Meninggalkan puasa kerana menyusukan Anak.
Ibu yang merasa bimbang akan memudaratkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Mereka hendaklah membayar fidyah dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.

5. Meninggalkan puasa kerana musafir atau sakit dan tidak qada’ puasa pada tahun ia ditinggalkan.
Musafir dan Pesakit yang tidak menggantikan (qada’) puasa pada tahun ia ditinggalkan wajib menggantikan (qada’) puasanya dan membayar fidyah mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.

6. Melambatkan ganti puasa (qada’).
Mereka yang melambat-lambatkan ganti (qada’) puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadan) dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.

7. Orang yang telah meninggal dunia.
Hutang puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian pusaka dibuat.

*e) Bagaimana Kiraan Fidyah?*
Kiraan fidyah dihitung dari berapa banyak hari puasa Ramadan yang ditinggalkan. 1 hari bersamaan 1 cupak.

Contoh:
(Hari yang ditinggalkan) X (1 Cupak) = FIDYAH

*f) Berapa Kadar Fidyah?* 
Kadar fidyah dikira berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk) semasa iaitu sebanyak 1 cupak. Kadar tersebut berubah mengikut harga yang ditetapkan pemerintah di sesuatu tempat. Beras tersebut hendaklah diberi makan kepada fakir dan miskin dan bukan berbentuk wang tunai, pakaian dan sebagainya.

Dalam bentuk nilaian matawang adalah berdasarkan kepada kadar yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Selangor sehingga tahun 2019, iaitu secupak beras bersamaan dengan 600 gram dinilai dengan kadar RM 1.80.

Kiraan fidyah di Selangor adalah tidak berganda walaupun melangkau tahun. Hanya masukkan jumlah keseluruhan puasa yang ditinggalkan.

*g) Bagaimana Membuat Bayaran Fidyah?* 
Di Selangor terdapat dua kaedah pembayaran fidyah iaitu melalui Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) atau Lembaga Zakat Selangor (LZS MAIS).  

Pada masa PKP ini, bayaran boleh dibuat secara atas talian iaitu:

1. Majlis Agama Islam Selangor: 
Klik: http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php

2. Lembaga Zakat Selangor
Klik: https://fpx.zakatselangor.com.my/v2/

Kedua-dua bayaran ini sama ada melalui MAIS atau LZS MAIS akan dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Harta Baitulmal sebelum diagihkan kepada fakir miskin. 

Semoga dengan sedikit perkongsian ini dapat membantu kita melunaskan hutang kita dengan Allah Ta'ala. 

Ramadan Kareem! Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadan!

Sumber; 
Sektor Baitulmal
Majlis Agama Islam Selangor

Artikel Menarik yang Lain

0 Sahabat Setia

Assalamualaikum. Salam Ukhuwah Fillah.
Terima Kasih Sudi Singgah. Ada Masa Jangan Lupa Tinggalkan Komen.