Tips Untuk Berjimat Cermat

Benarlah sebagaimana kata pepatah “Semakin besar periuk, maka besarlah keraknya”. Tidak kira berapa banyak gaji yang diperolehi, wang tidak pernah mencukupi, kecuali bagi mereka yang bijak menguruskan sumber kewangannya.

Teruskan membaca artikel ini. Semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaat yang berguna untuk kita semua tentang kepentingan berjimat cermat untuk memulakan tabungan anda.

Menabung bermaksud menyimpan sebahagian daripada pendapatan yang diperoleh. Biasanya jumlah yang dicadangkan ialah tiga puluh peratus daripada jumlah pendapatan. Tabiat ini bertujuan menggalakkan simpanan untuk masa depan bagi memupuk sikap berjimat cermat dalam kalangan para pengguna. Walau banyak mana pun wang yang diperoleh jika kita tidak merancang kewangan dengan betul, segala wang yang diperoleh akan 'hilang' begitu sahaja.

Amat penting untuk kita merancang perbelanjaan harian serta bulanan dan yang paling penting ialah pastikan setiap bulan kita ada menabung wang di dalam akaun simpanan sebagai jaminan masa depan selain untuk kegunaan saat-saat yang tidak diduga. Tabiat menabung perlu disemai kepada anak supaya apabila mereka dewasa kelak akan menjadi terbiasa dengan amalan menyimpan. Ia bukan saja berjaya mengelakkan pembaziran, tetapi pada masa sama tabungan yang dibuat secara kecil-kecilan itu nanti boleh digunakan untuk menampung pembiayaan mereka pada masa hadapan. Ada orang sukar mengamalkan tabiat baik menabung walaupun ia nampaknya sangat mudah.

Di sini diberikan sedikit panduan untuk dikongsi bagaimana caranya anda boleh berjimat cermat dan menabung secara bijak dan berhemah.

1. Berhenti merokok.

Harga rokok semakin mahal dan untuk mengekalkan tabiat merokok ini, anda perlu menghabiskan beratus-ratus ringgit. Dalam bahasa mudahnya, jika anda tidak berhenti merokok, anda akan membazir lebih banyak wang ringgit. Jika wang tersebut boleh digunakan untuk membeli barang yang lebih berharga, kenapa mesti dibazirkan begitu sahaja dengan merokok? Mari berhenti merokok supaya anda dapat menjimatkan wang anda dan menggunakannya untuk perkara yang membawa faedah pada diri anda dan keluarga.

Bagi mereka yang merokok pula boleh pertimbangkan untuk berhenti. Ini kerana perbuatan merokok adalah suatu yang merugikan wang dan kesihatan. Walaupun 'sedap' dan 'ketagih' dengan rokok, ia bukanlah satu tabiat yang baik kerana boleh memudaratkan diri dan orang lain. Jika anda berhenti merokok bermakna dengan wang rokok setiap bulan dalam lingkungan 1 kotak sehari bersamaan RM150 purata sebulan, ini bermakna dalam setahun menjadi RM1800.

2. Bawa bekalan ke tempat kerja.

Berhenti daripada memusnahkan badan kita dengan makan di luar, lebih-lebih lagi di restoran makanan segera. Belajarlah masak sendiri dan makan di rumah dengan bahan makanan yang lebih organik dan asli. Ini merupakan pendekatan yang positif untuk kehidupan dalam jangka masa panjang. Kandungan gula yang tinggi, garam yang berlebihan serta perasa monosodium glutamat, mahupun bahan-bahan kimia yang terdapat pada makanan-makanan di luar boleh merosakkan sistem kesihatan badan kita. Bawa bekal sendiri jika boleh, mula hargai kesihatan serta kawal kalori yang berlebihan. Apabila kita diasuh dengan mengurangkan makan, sudah pasti badan menjadi lebih sihat dan cergas. Ini merupakan satu bonus untuk kita mempunyai badan yang cergas serta otak yang berfungsi pada tahap optimum. Cuba perhatikan jika kita mula menghargai diri sendiri, tidak membazir dan makan makanan yang dibuat sendiri, sudah pasti mempunyai kesan penjimatan besar-besaran untuk jangka masa panjang.

Mereka yang biasa membawa bekalan makan tengah hari ke tempat kerja tiga kali seminggu pula mampu berjimat paling minimum RM30 seminggu. Ini membolehkan anda menyimpan sejumlah RM1,560 di bank pada tahun hadapan!

3. Cuci kereta sendiri.

Mencuci kereta ialah senaman yang baik untuk meregangkan otot-otot anda. Selain berjimat anda boleh bersenam dan mengeluarkan peluh secara sihat jika anda melakukan sendiri kerja mencuci kereta pada setiap hujung minggu. Kos perkhidmatan mencuci kereta biasanya sekitar RM9 sekali cuci, tidak termasuk kos petrol untuk ke tempat mencuci kereta. Ini bermakna anda boleh menjimatkan RM36 sebulan dengan mencuci kereta anda anda, belum dicampur dengan perkhidmatan lain seperti mengilat kenderaan. Ini membolehkan anda menabung sebanyak RM1,872 setahun. Jadi mencuci kereta sendiri adalah satu aktiviti yang ideal kerana tidak mengambil masa yang panjang, boleh mengeluarkan peluh dan boleh dilakukan di kawasan rumah anda saja. Anak-anak anda juga gembira sekiranya dapat membantu anda mencuci kereta. Dengan cara ini anda membuat satu aktiviti yang dapat menguatkan ikatan seisi keluarga. Membasuh sendiri kereta anda juga membolehkan anda lebih menghargai kenderaan yang anda guna saban hari dan membuatkan anda lebih cermat ketika menggunakannya. Selain itu, anda juga dapat mempelajari kemahiran membasuh kereta seperti memulakan basuhan dari bumbung kereta ke bawah. Ini adalah untuk mengelakkan
segala pasir atau debu melekat pada span dan menyebabkan bahagian tertentu tercalar.

4. Beriadah di rumah.

Kesihatan itu lebih penting dari wang. Namun, jika sesuatu aktiviti kesihatan itu boleh “menyakitkan” wang anda, itu bukanlah sesuatu yang bijak. Antara langkah drastik yang boleh anda ambil jika anda mengalami masalah kewangan, ialah dengan menamatkan keahlian anda di pusat-pusat gimnasium. Berjuta-juta orang telah membuktikan, mereka masih boleh hidup dengan sihat dan cergas tanpa perlu pergi ke gimnasium. Tidak perlu ke gimnasium untuk bersenam, beriadah sendiri di tempat-tempat rekreasi awam atau di rumah adalah lebih menjimatkan. Sekiranya anda mendaftar dengan kelab kesihatan, anda mungkin dikenakan bayaran RM180 atau lebih sebulan. Tetapi sekiranya anda bersenam sendiri di rumah dengan cara berjalan-jalan di sekitar kawasan perumahan selama 30 minit setiap hari, jumlah yang dapat dijimatkan ialah RM2,160 sepanjang tahun itu. Di samping beriadah dan bersenam, kita dapat menjaga kesihatan dan mengurangkan risiko mendapat penyakit serta dapat menikmati alam yang indah dan tenang.

Selain itu, membersihkan keseluruhan rumah, susun atur semula kedudukan perabot dalam rumah, ataupun buat latih tubi di beranda rumah juga membantu meningkatkan metabolisma badan dan mengurangkan stress. Biarpun anda hanya berjalan-jalan untuk ke sesuatu tempat, tetapi setiap pergerakan yang dilakukan sebenarnya telah membuatkan jantung anda bergerak dan lebih aktif, bonusnya ia akan membakar lemak, membentuk otot serta latihan bagi kardiovaskular.

5. Bayar bil kredit kad pada masanya.

Walaupun penggunaan kad kredit tidak bagus kerana ia antara penyebab 'overspending' dalam pengurusan kewangan, namun kita perlu berdisiplin untuk memastikannya ia berjaya menjadi alat kewangan yang baik. Dengan kemudahan kad kredit kita boleh memudahkan pengaliran kewangan dalam masa yang sama monitor supaya tidak melebihi bajet. Penggunaan kad kredit yang betul adalah bayar full / penuh sebelum penyata kad kredit keluar (kebiasaannya dalam masa tidak kurang 20 hari) iaitu melalui online banking. Kebiasaanya, pengguna kad kredit melakukan kesilapan dengan membayar jumlah minimum sahaja setiap kali menerima penyata kad kredit.

Tahukah anda, sekiranya anda mempunyai hutang kad kredit, contohnya mempunyai hutang RM5,000, dan hanya membayar jumlah minimum yang tertera setiap bulan, ia akan mengambil lebih kurang 8 tahun untuk melangsaikan keseluruhan hutang anda? Sebagai tambahan, anda akan membayar hampir RM10,000 secara keseluruhan! Di situlah terjadinya jerat kad kredit. Setiap kali anda membayar jumlah minimum, masih terdapat lagi baki-baki lain yang dikenakan yang dikenakan kadar faedah dalam lingkungan 18 peratus. Jadi, berpada-pada dalam menggunakan kad kredit, dan sebolehnya, langsaikan hutang kad kredit secepat mungkin disebabkan kadar faedah kad kredit adalah kadar faedah pinjaman yang paling tinggi!

6. Jimat air dan elektrik

Antara tugasan harian yang boleh menjimatkan penggunaan elektrik ialah seperti menggosok baju secara pukal pada hujung minggu. Kaedah ini juga dapat mengelakkan anda tergesa-gesa pada hari bekerja. Dengan penggunaan sekali gus, ia lebih menjimatkan masa dan penggunaan elektrik setiap hari. Begitu juga dengan pendingin hawa, untuk mengekalkan suhu sejuk dalam bilik, pastikan kawasan bilik tu dalam keadaan tertutup. Ataupun tukar pendingin hawa kepada kipas kerana lebih menjimatkan. Tutup suis dan tanggalkan plag tv, radio atau monitor komputer jika tidak digunakan. Peralatan elektrik menggunakan 10 peratus hingga 60 peratus sumber tenaga apabila ditutup tetapi masih diplagkan. Pilih peralatan elektrik yang jimat tenaga.

Penggunaan air kenalah kena pada tempatnya. Tidak perlulah membasuh lantai atau keseluruhan rumah setiap hari. Cukuplah pada hujung minggu anda membuat kerja rumah sekaligus. Begitu juga dengan air, gunakan penyembur air yang jimat air, air yang kurang bermakna penggunaan tenaga yang kurang. Perbaiki saluran paip yang bocor, terutamanya jika melibatkan perkakas air panas. Mandi adalah lebih baik daripada merendam dalam tub mandian. Lebih banyak air panas digunakan lebih banyak pembaziran tenaga.

7. Rancang pembelian

Setiap perkara yang ingin kita lakukan, perancangan memang penting. Sediakan satu senarai untuk semua barang yang hendak dibeli. Kemudian, asingkan sama ada ia barang keperluan atau hanya kehendak semata-mata. Berdasarakan senarai tersebut, kita akan nampak secara visual. Jangan lupa letakkan semua harga barangan tersebut dan bandingkan dengan bajet yang kita ada. Dahulukan barangan keperluan asas seperti barang dapur, bil-bil perkhidmatan, petrol untuk kenderaan. Kemudian jika ada bajet lebih, boleh digunakan untuk perkara lain ataupun disimpan saja.

Apabila pergi membeli belah, anda perlu mengetahui beberapa strategi. Di antaranya ialah beli saja apa yang diperlukan dan jangan beli mengikut naluri atau nafsu. Buatlah perbandingan tentang harga dan kualiti barangan yang hendak dibeli. Cuba menawar untuk mendapat pembelian yang lebih baik. Adalah sangat penting untuk membuat sedikit penyelidikan sebelum membeli sesuatu barang. Maklumat tentang berbagai-bagai jenis barang boleh didapati dalam surat khabar, majalah dan internet.

Apa yang diperlukan adalah sedikit usaha untuk mencari maklumat-maklumat tersebut.

8. Jelaskan bil anda menggunakan kemudahan dalam Internet.

Kebanyakan masyarakat kita menggunakan perkhidmatan pejabat pos untuk membayar bil. Kurang kesedaran dan keyakinan terhadap perkhidmatan membayar dalam talian menyebabkan mereka terpaksa beratur panjang di pejabat pos. Hakikatnya, pelbagai pilihan yang lebih mudah telah disediakan untuk pembayaran ini. Antaranya melalui mesin ATM, perkhidmatan perbankan dalam talian dan yang terkini melalui talian komunikasi.

Membayar bil melalui perkhidmatan internet adalah salah satu cara menjimatkan duit, tenaga dan masa dengan lebih praktikal. Anda tidak perlu beratur di kaunter yang memakan masa, dan membazirkan wang pada kos petrol dan parkir kereta. Bahkan ia boleh dilakukan pada bila-bila masa walaupun pada waktu tengah malam. Kita perlu bijak mengaplikasikan teknologi dan kemudahan dalam kehidupan seharian. Pilihlah kaedah pembayaran yang boleh memberikan keuntungan kepada anda.






Sumber

SaYaNg SeLaLu ,
Lya ❤

Catat Ulasan

0 Ulasan