Sentuhan Seorang Ibu

Assalamualaikum....
Salam Ukhwah Fillah ...
Sedikit Perkongsian Untuk Sahabat ...

Sentuhan merupakan salah satu cara yang paling berkesan bagi ibu untuk melahirkan kasih sayang kepada permata hati. Sama ada pada waktu makan, bermain, mandi atau menukar lampin, sentuhan menjalin perasaan kasih yang lebih mendalam buat si manja.

 Melalui sentuhan itu jugalah, bayi belajar bersosial dan berkomunikasi mengikut tahap perkembangan usianya. Sekiranya seseorang bayi itu memperoleh sentuhan yang kerap daripada ibunya, perubahan perkembangan tumbesaran dan kemahiran derianya akan memberi respons dan interaksi dengan orang tersayang dengan lebih cepat berbanding dengan bayi yang kekurangan belaian.

Pada peringkat usia dua bulan, senyuman dan sentuhan ibu semasa menyusu, mandi, menyalin lampin atau memakaikan baju adalah detik bayi mengenal siapa ibunya.

"Sentuhan itu seolah-olah bertindak sebagai pelindung dan luahan kasih sayang yang begitu mengasyikkan oleh seorang yang telah mengandung dan melahirkannya ke dunia ini. 

Pada waktu usia yang awal inilah detik terbaik untuk ibu menyentuh dan membelai bayi. Adalah suatu yang merugikan sekiranya tidak berbuat demikian dan hanya menyerahkan kepada pembantu rumah melakukannya. Ibu sebenarnya kehilangan peluang untuk mengasihi bayi yang di kandung selama sembilan bulan 10 hari itu kerana waktu inilah mereka mula mengenal ibunya dan memperoleh kasih sayang,".

♫♪ Bayi cuba mencapai kepada ibunya

Apabila bayi cuba mencapai kepada si ibu, bayi mungkin cuba memberitahu si ibu untuk memeluk dan membelainya; untuk merapatinya atau si bayi gembira dengan kehadiran ibu.

Apa yang penting, bayi sedang menunjukkan rasa perlunya terhadap ibu, dan ini menandakan hubungan erat antara ibu dan anak. Semasa anak membesar, tindak balas positif anda tiap kali si manja mencapai ke arah anda akan membantu bayi lebih sedar akan pergerakannya dan cara membuat pergerakan yang bermakna.

♫♪ Bayi bergelak ketawa

Bayi ketawa untuk menunjukkan perasaannya. Selain menunjukkan rasa teruja dan gembira, gelak pertama bayi menandakan perkembangan sosialnya kerana merupakan suatu tindak balas yang berlaku apabila dia berkongsi dunianya dengan orang tersayang.

Apabila bayi gelak sebagai salah satu cara untuk bertindak balas dengan anda, ia merupakan cara bayi untuk memberitahu betapa seronoknya dia meluangkan masa dengan anda.

Dengan berbunyi-bunyi manja pada waktu kehadiran anda, bayi menunjukkan bahawa mereka mengenali anda, dan sedang berhubung dengan anda. Dalam erti kata lain, bunyi-bunyi tersebut menandakan kegembiraannya dan juga sebagai tindak balasnya bagi kasih sayang, sentuhan dan perhatian yang anda berikan.


♫♪ Tatapan mata bayi menjadi lebih lama

Bayi juga menggunakan isyarat mata untuk berhubung. Apabila bayi menatap mata anda, suatu mesej berbaur kasih sayang mengalir antara bayi kepada anda yang meningkatkan kasih sayang antara anda dan si manja.


Pandangan mata yang kemudiannya berkembang menjadi tatapan yang lama, merupakan salah satu kebolehan bayi yang dapat anda sedari. Pada hari-hari awalnya, bayi akan memberi sepenuh perhatian kepada anda, dan lirikan matanya akan mengekori anda apabila anda hampir dengannya.

Melihat muka anda yang telah dia kenal seolah-olah mampu menenangkan si manja. Ada kalanya anda juga mendapati si manja seolah-olah sedang termenung ke arah anda. Ini adalah kerana bayi sedang cuba mengingat muka anda dan mengenal pasti bagaimana rupanya kasih sayang dan keselesaan.

SaYaNg SeLaLu ,
Lya ❤

Catat Ulasan

0 Ulasan