9 Zulhijjah Hari Arafah

9 Zulhijjah Hari Arafah  |  Alhamdulillah Syukur Ya Allah harini kita berada pada tarikh 8 Zulhijjah dan esok kita akan berjumpa sekali lagi dengan tarikh 9 Zulhijjah iaitu Hari Wukuf atau Hari Arafah. Dah bersedia ke nak buat amalan yang patut kita laksanakan esok. Dah tahu apa amalannya? Kalau belum tahu atau tak ingat jom sama sama kita kongsi ilmu. KakYa kongsikan kat sini buat sahabat pembaca blog KakYa.

Kelebihan Hari Arafah

Hari Arafah adalah hari yang kesembilan Zulhijjah. Ia merupakan salah satu daripada hari-hari yang dimuliakan oleh Allah s.w.t. yang mempunyai kelebihan-kelebihan yang tertentu, di antaranya ialah :

• Ia merupakan hari kemuncak bagi ibadah haji, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Ibadah haji itu (sah dengan berwukuf) di Arafah.” Ertinya, wukuf di Arafah merupakan satu rukun tertentu dalam ibadah haji, tanpa wukuf haji seseorang itu tidak sah.

• Ia merupakan hari keampunan segala dosa dan kemerdekaan dari api neraka serta Allah melahirkan kebanggaanNya kepada para malaikat dengan ramainya orang yang berwukuf di Arafah. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Hari yang Allah s.w.t. memerdekakan paling ramai hambaNya daripada api neraka ialah hari Arafah, dan sesungguhnya rahmat dan anugerah Allah mendekati mereka, kemudian Allah melahirkan kebanggaanNya kepada para malaikat dengan ramainya mereka yang berwukuf di Arafah lalu berfirman, “Apakah yang mereka kehendaki? Dalam riwayat yang lain pula Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah taala melahirkan kebanggaanNya kepada para malaikatNya pada waktu petang hari Arafah dengan ramainya ahli Arafah, lantas berfirman, lihatlah kamu kepada hamba-hambaKu yang telah datang kepada Ku dengan keadaan kusut masai, dan berdebu.” (Riwayat Muslim).

• Ia merupakan hari Allah menyempurnakan agama dan mencukupkan nikmat untuk umat Nabi Muhammad s.a.w. dengan menurunkan ayat 3 surah Al-Maidah pada hari Jumaat ketika Rasulullah s.a.w. berada di Arafah, iaitu, “Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah mencukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku reda akan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”

• Ia merupakan hari Allah mengambil perjanjian setia daripada zuriat Nabi Adam a.s. sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah telah mengambil perjanjian setia di Arafah daripada zuriat yang berada dalam tulang belakang Nabi Adam, dan mengeluarkan zuriat itu dihadapannya seperti biji-bijian, kemudian Allah berkata kepada mereka dengan firmanNya, “Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka menjawab : Benar (Engkaulah Tuhan kami) kami menjadi saksi”, yang demikian itu supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak : “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.” (Riwayat Ahmad).

Amalan Sunat Hari Arafah

Ayat-ayat dan hadis-hadis tersebut menggambarkan tentang kemuliaan, kelebihan dan keagungan hari Arafah. Sementara amalan-amalan sunat yang dituntut pada hari Arafah pula antaranya adalah :

- Berpuasa sunat Arafah bagi orang yang tidak mengerjakan haji kerana orang yang berpuasa pada hari itu, akan diampunkan dosanya selama dua tahun. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Berpuasa pada hari Arafah, aku berharap bahawa Allah akan mengampunkan dosa pada tahun sebelumnya dan tahun selepasnya.” (Riwayat Muslim)

- Menjaga solat secara berjemaah, memperbanyakkan solat sunat dan qiamulail kerana semua ini merupakan ibadah-ibadah yang paling afdal bagi mendekatkan diri kepada Allah. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kerana sesungguhnya tiap-tiap kali engkau bersujud kepada Allah, Allah akan mengangkatkanmu dengan sujud itu satu darjat dan menghapuskan daripadamu satu kesalahan.” (Riwayat Muslim)

- Memperbanyakkan doa dan zikir, kerana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Sebaik-baik doa ialah doa pada hari Arafah dan sebaik-baik apa yang aku berkata dan juga para nabi sebelum aku ialah ;


Oleh itu, perbanyakkanlah doa pada hari itu untuk mendapat keampunan dan kemerdekaan daripada api neraka, serta memperbanyakkan berzikir dengan zikir yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para nabi sebelum baginda sebagaimana yang disebut dalam hadis di atas. 

Selain itu, rebutlah peluang kemuliaan yang ada pada hari Arafah ini dengan memperbanyakkan tahlil, tasbih dan takbir. Ibnu Umar r.a. berkata yang bermaksud, “Kami bersama dengan Rasulullah s.a.w. pada pagi hari Arafah lalu sebahagian dari kami bertakbir dan sebahagian yang lain bertahlil.” Para muslimin juga disunatkan bertakbir tiap-tiap kali selepas solat, bermula dari solat Subuh hari Arafah 9 Zulhijjah sehingga solat Asar 13 Zulhijjah.

SUMBER: [Petikan Khutbah Jumaat Pusat Islam Sultan Mahmud pada 9 September 2016]

Kelebihan Puasa Arafah

Puasa Arafah adalah puasa di hari Arafah iaitu hari kesembilan bulan Zulhijjah. Ia dilakukan sehari sebelum kita menyambut Aildiladha. Puasa ini sangat digalakkan untuk umat Islam yang tidak pergi haji seperti mana yang terdapat dalam riwayat dari Rasulullah S.A.W tentang puasa Arafah.

Dari Abu Qatadah Al-Anshairy berkata ” Sesungguhnya Rasulullah S.A.W pernah ditanya tentang keutamaan puasa pada hari Arafah. Maka baginda menjawab “Menghapuskan kesalahan tahun yang lalu dan sesudahnya” (HR.Muslim no.1162)

Di dalam hadis yang mulia ini terdapat dalil dan hujah yang sangat kuat tentang waktu puasa Arafah, iaitu pada hari Arafah ketika manusia wuquf di Arafah. Kerana puasa Arafah ini terkait dengan waktu dan tempat. Bukan dengan waktu saja seperti umumnya puasa-puasa yang lain. Oleh kerana puasa Arafah itu terkait dengan tempat, sedangkan Arafah hanya ada di satu tempat iaitu di Arab Saudi di kota Makkah bukan di Malaysia atau di negeri-negeri yang lainnya, maka waktu puasa Arafah adalah ketika kaum muslimin wuquf di Arafah.

Bagi yang tinggal di Malaysia, puasa Arafah jatuh pada 29 Julai 2020 iaitu pada hari Khamis. Berikut adalah niat puasa hari Arafah.

Lafaz Niat Puasa Sunat Hari Arafah

Niat puasa sunat hari Arafah adalah seperti berikut:


Nawaitu shauma Arafata sunnatan lillahi ta’ala.

Maksudnya:
Aku berniat puasa sunat Arafah kerana Allah Taala.

Marilah kita sama-sama mengerjakan ibadah puasa sunat ini yang hanya boleh dilakukan setahun sekali sahaja. Ganjaran utama yang bakal kita perolehi dengan melakukan puasa Arafah adalah dosa-dosa kita pada tahun lepas dan tahun depan akan diampunkan oleh Allah SWT. Rugi jika tidak dilakukan. Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat semua.


Catat Ulasan

0 Ulasan